BONGKAR! PUNCA SEBENAR Pekerja ‘Bangla’ Saman Kerajaan Malaysia RM3 Juta!
SEORANG pekerja Bangladesh memfailkan saman ke atas kerajaan Malaysia, Jabatan Imigresen untuk RM3 juta kerana didakwa disebat ketika di dalam penjara sementara menunggu rayuan sabitan kesnya.
Pekerja itu, Alamin Sheikh Badsha Sheikh, 28 tahun, seorang pekerja binaan sebelum itu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan tiga sebatan pada Julai tahun lalu selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan permit yang sah.
Menurut laporan The Malaysian Insider (TMI), dia ditahan pada bulan Jun tahun lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bulan berikutnya di mana Alamin mengaku bersalah tanpa diwakili peguam.
Selepas dia dijatuhkan hukuman, barulah majikannya tampil dengan dokumen sah untuk membuktikan sebaliknya.
Ketika menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dia telah disebat di Penjara Pokok Sena.
Peguam Alamin kini, S Raveentharan berkata anak guamnya disebat tiga kali dengan rotan pada 9 Oktober tahun lepas hanya kira-kira 16 hari sebelum rayuan kesnya didengar di Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding rayuan itu, Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim mengenepikan sabitan bersalah ke atasnya yang dibuat di bawah Akta Imigresen.
“Hakim pun turut terkejut apabila mengetahui bahawa anak guam saya sudah menjalani hukuman penjara dan disebat.
“Ini adalah kes yang mana sistem kehakiman dilakukan secara tergesa-gesa, adakah perlaksanaan hukuman yang terburu-buru itu sebabnya diketahui oleh pihak polis, imigresen? Adakah penyelewengan berlaku?,” kata Raveentharan dalam satu sidang media hari ini.
Beliau berkata, Alamin yang tidak diwakili peguam ketika didakwa, mengaku bersalah tanpa memahami tuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Laporan TMI menyebut Alamin tidak hadir pada sidang media berkenaan kerana sedang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Langkap, Perak sementara menunggu proses penghantaran pulang.
Menurut Raveentharan, anak guamnya akan menyaman kerajaan Malaysia atas penderitaan, turut menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Pegawai Penyiasat Jabatan Imigresen, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Pulau Pinang dan Pegawai Penyiasat Polis sebagai defendan.
“Pihak kami memohon saman sebanyak RM1 juta bagi setiap sebatan,” katanya.
Dalam kenyataan tuntutan saman itu yang difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi, Alamin juga menuntut ganti rugi umum dan ganti rugi khas untuk kesakitan, penderitaan dan juga masalah psikologi yag dialaminya.
Raveentharan berkata Alamin juga akan menjalani pemeriksaan perubatan untuk melihat kecederaan kekal yang dialami selepas disebat di penjara.
“Hukuman sebat itu mencetuskan kebimbangan dia tidak akan boleh mendapatkan zuriat pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, Alamin turut menuntut ganti rugi kehilangan pendapatan sebanyak RM1,300 sebulan sepanjang dipenjarakan dari Julai ke November 2013.
Dia juga menuntut ganti rugi RM2,500 sehari bagi tempoh 90 hari ketika dipenjarakan
ADA SEBARANG KOMEN??