Enggan Bekerjasama Dengan FBI, Interpol? - INI PENJELASAN DATUK HISHAMMUDDIN!
Datuk Seri Hishammuddin Nafikan Tuduhan Malaysia Enggan Bekerjasama Dengan FBI, Interpol |
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sejak hari pertama kerjasama diberikan dengan kedua-dua agensi penyiasatan tersebut.
"Itu tidak benar, ia jelas maklumat salah.
"Ia kerana kami telah bekerjasama dengan FBI dan Interpol sejak hari pertama," kata Hishammuddin dalam sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.
Semalam ABC News melaporkan Malaysia berulang kali menolak tawaran Interpol untuk menyiasat kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 walaupun kerajaan percaya pesawat hilang kerana "tindakan sengaja".
Bercakap kepada ABC News di Amerika Syarikat (AS), seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan itu menuduh kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat dan menolak tawaran Interpol untuk membantu.
"Ini merupakan taktik lama sebelum tragedi 9/11: Sembunyikan maklumat, jangan kongsi dengan sesiapa," kata pegawai tersebut seperti dilaporkan ABC News di laman sesawangnya merujuk kepada tragedi 11 September 2001 satu ketika dahulu.
Hari ini merupakan hari ke-10 pesawat MAS itu hilang. Operasi mencari dan menyelamat kini melibatkan koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan, dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi.
Bagaimanapun tiada sebarang petunjuk baru ditemui.
MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing.
ADA SEBARANG KOMEN??